SEJARAH SEKOLAH

| |


SMK Chini adalah sebuah sekolah menengah dalam daerah Pekan dan berada di bawah pengurusan Pejabat Pelajaran Daerah Pekan. Letaknya kira-kira 90 km dari Bandar Pekan dan kira-kira 100 km dari Bandar Kuantan. Sekolah ini tidak jauh dari Tasik Chini iaitu salah satu pusat pelancongan yang terkenal di negeri Pahang. Jaraknya adalah 15 km.

SMk Chini ditubuhkan pada tahun 1983 dan dibina di atas kawasan tanah seluas 25 ekar. Pengetua yang pertama ialah En Mohd Noor Rashid bin Mohd Saud yang berkhidmat selama 9 tahun (1983-1992). Sekolah ini terdiri daripada 8 blok bangunan yang menempatkan pejabat, kelas, makmal sains, pusat sumber, kantin dan bengkel. Sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah menengah dalam Gugusan Chini (Chini 1-5) dan Felda Chini Timur. Sekolah ini menyediakan pelajaran menengah bagi murid-murid lepasan sekolah kebangsaan di Gugusan Chini dan Chini Timur. Terdapat kira-kira 3500 keluarga peneroka di kawasan ini dan kerana itulah sekolah ini mempunyai bilangan pelajar yang ramai.





Pada tahun 1996, sebuah sekolah baru telah ditubuhkan di Chini Timur iaitu SMK Chini Timur bagi menampung bilangan pelajar yang terlalu ramai dan kekurangan kemudahan fizikal yang ada. Jaraknya kira-kira 20 km. Namun begitu bilangan pelajar di sekolah ini masih ramai iaitu melebihi 2000 orang. Faktor ini telah mendorong pihak Kementerian Pelajaran Malaysia membina sebuah lagi sekolah menengah pada tahun 2001 yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah ini.

Sejak ditubuhkan, SMK Chini telah mengalami banyak perubahan. Namun begitu, perubahan dari segi kemudahan fizikal tidak banyak. Sekolah ini hanya mendapat sebuah blok makmal komputer yang telah disiapkan pada tahun 2004. Dari segi kurikulum, SMK Chini telah memulakan kelas tingkatan 6 pada bulan Jun 2005. Seramai 64 orang pelajar lepasan SPM 2004 telah mengisi 2 buah kelas aliran kemanusiaan. Sekarang SMK Chini mempunyai 3 buah kelas aliran agama (KAA) bagi tingkatan 1-3. Sejak 1998, sekolah ini telah membuka kelas Pendidikan Khas dan bilangan pelajar adalah 22 orang dengan 3 buah kelas.


Pada 2 Januari 2006, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memulakan sesi persekolahan bagi SMK Chini 2. Oleh sebab pembinaan bangunan dan infrastruktur belum siap sepenuhnya, SMK Chini 2 telah menumpang di SMK Chini dan menggunakan waktu petang sebagai sesi persekolahan. Seramai 38 orang guru dari SMK Chini telah ditukarkan ke SMK Chini 2 bersama dengan sebahagian pelajar tingkatan 1,2 dan 4 iaitu seramai 632 orang pelajar.


Pada pertengahan 2006 hingga sekarang SMK Chini telah bermula hanya dengan satu sesi persekolahan sahaja yang mempunyai 865 orang pelajar, 77 orang guru dan 17 orang kakitangan.

0 comments: